2 OKT : Semua stesen televisyen dan radio seluruh negara diminta menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah susulan penahanan rakyat Malaysia yang dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata doa dan solidariti rakyat Malaysia amat penting dalam menghadapi saat getir itu.
“Susulan tindakan rejim zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan memintas serta menahan pasukan GSF, saya menggesa semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara untuk menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setakat ini, seramai 15 rakyat Malaysia yang menyertai misi itu dilaporkan ditahan secara tidak sah selepas kapal yang mereka naiki dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Sumud Nusantara menerusi akaun media sosial sambil memuat naik rakaman video setiap rakyat Malaysia terbabit sebelum pelayaran.
Mereka adalah Farah Lee, Danish Nazram, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri, Sul Aidil, Hareez Adzrami, Haikal Luqman dan Dr Taufiq Mohamad Razif.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan sudah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempertingkat pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik ini di ruang siber Malaysia.
“Tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri dan sumber-sumber rasmi termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan MAPIM bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau tidak sahih,” katanya.
