KENYATAAN MEDIA
LEMBAGA TABUNG HAJI
Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menjelaskan bahawa liputan berita mengenai penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus merujuk kepada data pada musim haji yang lepas iaitu musim haji 1446H/2025M.
Analisis terhadap jumlah penolakan pada musim haji 1446H/2025M yang lepas mendapati ia terutamanya berpunca daripada tahap simpanan pendeposit yang rendah.
Bagi musim haji 1447H/2026M yang akan datang, TH telah menggiatkan usaha antaranya membuat peringatan berkala seawal bulan Ogos 2025 kepada semua bakal jemaah haji musim 1447H/2026M untuk membuat persediaan secukupnya dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan.
Langkah proaktif yang merupakan sebahagian dari inisiatif peremajaan jenama TH tersebut telah menunjukkan hasil yang baik setakat ini.
Tawaran haji bagi musim 1447H/2026M kepada jemaah masih lagi dikeluarkan secara berperingkat ketika ini.
Kadar penolakan tawaran haji bagi musim haji 1447H/2026M akan datang didapati lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya kesan peringatan awal oleh TH dan kempen simpanan berterusan kepada bakal jemaah.
Jemaah haji perlu mencukupkan simpanan minima sebanyak RM15,000 di akaun TH masing-masing untuk melayakkan menerima tawaran haji atau untuk membuat rayuan haji.
TH menggalakkan semua bakal-bakal jemaah haji menyimpan secara berkala dan sistematik sejak awal dan sentiasa menjaga kesihatan kendiri bagi mempersiapkan diri untuk melengkapkan rukun Islam kelima mereka.
LEMBAGA TABUNG HAJI