24 NOV : Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dikerahkan ke Kelantan, negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pasukan itu juga sudah bersedia untuk dikerah ke negeri lain.
“Menurut laporan yang diterima, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama semua aset agensi berkaitan sudah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, di samping memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.
“SMART juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Anwar yang kini berada di luar negara bagi lawatan kerja berkata beliau memantau rapat situasi banjir yang setakat ini sudah menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri.
“Meski jauh di Kenya, saya ikuti rapat perkembangan musibah banjir yang semakin memburuk dan menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri,” katanya.
Selain itu kata Anwar, Skuad Ihsan MADANI turut dikerahkan ke hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu pengurusan kebajikan mangsa banjir.
Dalam kenyataan sama, Anwar mengingatkan rakyat di kawasan berisiko supaya mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan keluarga.
“Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah. Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan menghadapi situasi sukar ini.
“Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan.
“Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Kuala Lumpur merupakan negeri terbaharu terjejas banjir selepas beberapa kawasan dinaiki air susulan hujan lebat.
Mangsa banjir di Kelantan pula dilaporkan hampir mencecah 10,000 orang setakat jam 9.30 malam ini di mana kesemuanya dipindahkan ke 40 pusat penempatan sementara (PPS) dengan Tumpat paling teruk terjejas.
Sementara mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 1,898 orang yang terjejas dan berlindung di 15 PPS.
*FOTO : PDRM