Pastikan keperluan mangsa banjir di PPS cukup : Agong
25 NOV : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan agar keperluan mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) mencukupi.
Baginda bertitah demikian susulan peningkatan mangsa banjir yang berteduh di PPS akibat banjir di beberapa negeri.
Sultan Ibrahim menitahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memastikan PPS berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu menampung keperluan mangsa yang dipindahkan.
“Pastikan kemudahan asas, bekalan makanan serta perubatan tersedia dengan mencukupi.
“Rakyat juga diingatkan supaya mematuhi arahan pemindahan dan tidak mengambil risiko berada di kawasan berbahaya,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.
Menurut kenyataan yang dimuat naik ke Facebook, baginda menitipkan doa agar semua mangsa banjir yang terjejas di 10 negeri diberikan perlindungan dan ketabahan oleh Allah SWT.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan dan pihak berkaitan yang sedang bertungkus-lumus membantu rakyat di kawasan terjejas.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar