25 DIS : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mengesahkan menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka melibatkan tiga kerusi PAS.
Susulan itu, Rus’sele Eizan berkata pihaknya akan memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kawasan DUN itu.
Katanya, ia melibatkan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian PAS ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu terhenti serta-merta, semalam.
“Pemakluman mengenai perkara itu diterima secara rasmi daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.
“Setelah membuat semakan dan meneliti perkembangan berkaitan, saya berpuas hati bahawa sudah berlakunya kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi ketiga-tiga DUN berkenaan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Rus’sele berkata pihaknya melihat ada keperluan untuk diadakan pilihan raya bagi memastikan kestabilan kerajaan.
“Ketiadaan wakil rakyat yang baharu bagi kerusi berkenaan yang dimenangi PAS itu akan menyebabkan implikasi majoriti di peringkat DUN.
“Kekosongan tiga kerusi itu menjejaskan bilangan majoriti semua Ahli Dewan Negeri Perlis dan menimbulkan keadaan terjejas dari segi kestabilan kerajaan negeri.
“Demi kepentingan kestabilan kerajaan dan memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kekosongan ini wajar diisi semula,” katanya.
Semalam, PAS dalam satu kenyataan memaklumkan keahlian tiga ADUN di Perlis terhenti serta-merta iaitu Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji).
Tindakan itu dipercayai berkait dengan konflik politik semasa yang melanda Perlis di mana tiga ADUN tersebut didakwa menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis dari PAS, Mohd Shukri Ramli.