1 JAN : Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan maklumat tular di media sosial yang mendakwa klinik kerajaan tidak lagi menerima pesakit tanpa janji temu (walk-in).
Menurut KKM, maklumat palsu yang tersebar itu boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.
“KKM ingin menjelaskan mesej yang telah tersebar dalam platform media sosial bahawa Klinik Kesihatan tidak akan menerima pesakit walk-in adalah tidak benar yang telah menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat,” menurut kementerian itu dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Akaun rasmi KKM itu turut berkongsi tangkap layar mesej yang mendakwa tiada lagi pesakit yang boleh ke Klinik Kesihatan tanpa janji temu mulai Januari 2026 dan ia perlu dibuat melalui MySejahtera.

Mengulas lanjut, KKM menegaskan meski sistem janji temu menjadi kaedah utama namun kerajaan tetap menyediakan ruang untuk pesakit datang bagi mendapatkan rawatan.
“Walaupun sistem janji temu adalah kaedah utama, ruang untuk pesakit walk-in tetap disediakan, khususnya bagi kes kecemasan, warga emas dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi.
“Pesakit tanpa janji temu tetap dilayan namun perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu,” jelas KKM.
Dalam pada itu, KKM memaklumkan pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang ditetapkan.
“KKM amat memahami bahawa akses teknologi adalah berbeza bagi setiap individu.
“Oleh itu, perkhidmatan walk-in tetap diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama,” kata KKM lagi.
*FOTO UTAMA : FACEBOOK KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA