9 JAN : Kerajaan mengkaji keperluan untuk mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ia susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa.
“Saya juga sebut tentang bagaimana kita akan mengkaji semula soal peperiksaan itu kerana itu yang masih lagi menjadi permintaan ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) akan mengkaji perkara itu.
“Apa sahaja peperiksaan yang disebut ataupun yang berada dalam polemik masyarakat itu, nanti Dr Mohd Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) akan memberikan pandangan, perincian dan ahli-ahli majlis penasihat akan membincangkan perkara tersebut,” katanya.
UPSR dimansuhkan pada 2021 sementara PT3 dimansuh sepenuhnya pada 2022 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).