30 JAN : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan permohonan pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka bagi memenuhi keperluan guru seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata ia sebagai persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
“Hebahan pengambilan guru akan dilakukan pada 23 Februari dan permohonan dibuka bagi tempoh 2 hingga 20 Mac ini.
“KPM komited memastikan keperluan tenaga pengajar yang mencukupi serta meningkatkan mutu pendidikan negara sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Azam, semua guru yang terpilih perlu menjalani latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM.
“Bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di IPG KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan.
“Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif baharu dalam sistem pendidikan negara menerusi RPN 2026-2035 yang merangkumi kemasukan murid berumur 6 tahun ke Tahun Satu, pengenalan semula penilaian standard menerusi Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat dan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga serta penekanan terhadap subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan hampir RM1 bilion sebagai persiapan bagi memulakan pendidikan formal murid pada usia enam tahun ke Tahun 1 pada sesi 2027 meliputi pengambilan guru baharu dan penyediaan bilik darjah tambahan.