26 FEB : Pemilihan UMNO yang dijadual tahun ini ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Parlimen ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan, hari ini.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini kepada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU16 selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2.
“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) dan PRU-16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, UMNO turut menetapkan Perhimpunan Agung UMNO Tahun 2026 diadakan pada 12 Ogos hingga 16 Ogos depan.
Sementara persidangan bagi cawangan dijadualkan pada 1 April hingga 17 Mei manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian ditetapkan 1 Jun hingga 12 Julai 2026.
Dalam kenyataan sama, Asyraf Wajdi turut memaklumkan sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 tahun ini, parti itu akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei 2026.
Sementara acara kemuncak Konvensyen UMNO akan diadakan pada 2 Mei 2026 bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre.