11 MAC : Seramai 164 rakyat Malaysia yang dibawa pulang selepas terkandas di zon konflik Asia Barat dijadual tiba di tanah air jam 11 pagi, hari ini.
Turut diselamatkan lima warga Thailand yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang terkasndas dan seorang warga Indonesia.
Kesemua 170 penumpang yang menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Krisis Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Fauzan Amin Misnon berkata kesemua mereka dibawa pulang dari empat negara iaitu Arab Saudi (Jeddah), Syria, Jordan dan Qatar (Doha).
”Proses membawa pulang mereka berjalan lancar hasil kerjasama erat dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia di Jeddah.
“Kesemua mereka pulang secara sukarela selepas berdaftar melalui sistem dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya, lapor Bernama.
Beliau turut serta dalam Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang digerakkan kerajaan.
Dalam pada itu, Fauzan Amin berkata hanya dua orang yang menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan perhatian khusus sementara penumpang lain berada dalam keadaan baik.
Operasi tersebut dijalankan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terjejas itu terpelihara.
MKN menyelaras operasi berkenaan dengan kerjasama rapat KLN melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkenaan.

*FOTO : FACEBOOK BERNAMA