19 MAC : Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah selepas mengaku memijak al-Quran, bulan lalu.
Majistret Dr Teoh Shu Yee membuat keputusan itu terhadap Amir Abdul Malik, 41, hari ini.
Amir mengaku bersalah atas pertuduhan mencemari agama Islam apabila memuat naik rakaman dirinya memijak al-Quran dengan niat menghina agama di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah pada 28 Februari lalu.
Menurut Teoh, perbuatan tertuduh itu serius yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Penghinaan terhadap mana-mana agama, sama ada Islam atau bukan Islam, berpotensi membawa kerosakan yang jauh lebih besar berbanding kecederaan fizikal kerana ia menyentuh maruah serta hak eksklusif yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Lebih membimbangkan katanya, perbuatan itu dilakukan pada bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi ruang untuk meningkatkan keimanan dan amalan kebaikan.
Mahkamah kemudian memerintahkan Amir menjalami hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap, 15 Mac lalu.
Amir didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan sebelum itu memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim yang menghina agama sendiri.