Petronas runding dengan Rusia, beli minyak untuk domestik
18 APR : Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengintai peluang untuk membeli minyak dari Rusia bagi menampung keperluan domestik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rundingan akan dibuat Petronas dengan Rusia.
Katanya, banyak negara Eropah dan Amerika yang dulunya menyekat Rusia kini terpaksa berebut membeli minyak negara itu.
“Nasib baik hubungan kita dengan Rusia masih baik. Jadi…pasukan Petronas boleh berunding dengan Rusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, hasil diplomasi awal dibuat kerajaan ketika krisis tenaga melanda berjaya membawa keluar kapal minyak Malaysia melepasi Selat Hormuz.
Katanya, ia sekali gus dapat mengelakkan negara daripada berdepan gangguan rantaian bekalan tenaga negara.
Anwar memberitahu, ketegangan ‘geopolitik’ melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan negara Eropah memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global, harga minyak serta bekalan baja yang menjadi keperluan penting negara.
“Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah selamat tiba di Pengerang Integrated Complex. Keperluan penghantaran ke Pengerang ini penting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ.
“Kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan dengan kepimpinan Iran, membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa mengenai masa depan Selat Hormuz masih menemui jalan buntu,” katanya.
