Konflik Asia Barat: Kerajaan pertimbang kecuali duti bantu eksport terjejas
21 APR : Kerajaan MADANI mempertimbangkan memberi pengecualian duti import dan cukai jualan secara interim bagi membantu perniagaan yang terjejas akibat gangguan eksport susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu melibatkan pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport sehingga 31 Disember 2026.
“Ketika ini, konflik Asia Barat telah memberi kesan yang amat mendalam kepada pasaran tenaga global, menjurus kepada tekanan ke atas kos operasi dan gangguan rantaian bekalan.
“Bagi perniagaan yang terkesan dengan eksport susulan konflik Asia Barat, Kerajaan MADANI akan memberi pertimbangan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport, sehingga 31 Disember 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi libat urus bersama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan komuniti perniagaan milikan Cina dan India, susulan pertemuan dengan usahawan Bumiputera minggu lalu.
Katanya, sesi itu amat penting bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan serta merangka langkah segera bagi membantu perniagaan yang terkesan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan kos serta memastikan kelangsungan perniagaan.
Antaranya meningkatkan peruntukan jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM5 bilion serta meluaskan liputan pembiayaan sehingga 80 peratus, berbanding 70 peratus sebelum ini.
“SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, serta bantuan bayaran balik secara bersasar,” katanya.
Selain itu, kerajaan bersetuju memanjangkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan sistem e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027.
“untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan tanpa penalti dalam tempoh tersebut,” katanya.
Tambahnya, krisis tenaga global ketika ini dijangka memberi kesan berpanjangan, justeru kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi menghadapi cabaran tersebut.
“Kita tidak boleh menafikan, krisis tenaga global ini akan dirasai secara berpanjangan. Ini bukan masanya untuk berpolitik atau adu domba.
“Ini masanya kerajaan dan sektor swasta berganding bahu, agar kesan kejutan luaran ini dapat kita tangani demi maslahat rakyat,” katanya.