28 APR : Kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan susulan penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) semalam akan diselesaikan melalui saluran politik.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti tidak akan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri mahu pun undang-undang adat Negeri Sembilan.
Namun katanya yang juga Timbalan Perdana Menteru, penyelesaian terbaik perlu dicapai bagi memastikan kerajaan negeri itu kukuh.
“Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Negeri Sembilan.
“Pada hemat saya, tidak semudah itu dan paling baik ialah mengikuti semua peraturan yang ada serta prosedur bagi menentukan bahawa peraturan itu diikuti terlebih dulu.
“Saya akan menyelesaikan kemelut yang ada itu melalui politik dan kita tidak akan pernah campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ataupun dalam undang-undang adat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan hari ini namun enggan mendedahkan butirannya.
Sementara itu, ketika dimina mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang tegas menolak pembentukan kerajaan melalui tebuk atap, Ahmad Zahid berkata ia perlu diselesaikan dengan cara politik.
“Itulah sebabnya perbincangan dengan Perdana Menteri itu penting dan masalah politik harus diselesaikan cara politik, bukan dengan kaedah lain,” katanya.

Semalam, 14 ADUN BN mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri selepas hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata mereka kecewa terhadap isu yang melibatkan krisis perlembagaan Negeri Sembilan apabila tiada wakil UMNO-BN dalam barisan Exco dilibatkan atau dimaklumkan tentang krisis tersebut.
DUN Negeri Sembilan memiliki 36 kerusi dengan BN mewakili 14 kerusi, Pakatan Harapan 17 kerusi (DAP 11, PKR 5 dan Amanah 1) yang membentuk Kerajaan Perpaduan sementara pembangkang 5 kerusi iaitu PAS 3 dan Bersatu 2.