28 APR : Angka korban akibat pelanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat yang berlaku pada Isnin meningkat kepada 14 nyawa, setakat ini.
Sementara puluhan penumpang yang lain dilaporkan cedera dan menerima rawatan sejurus kejadian.
Nahas itu berlaku apabila sebuah tren komuter yang berhenti di landasan 1 menuju ke Cikarang dilanggar dari belakang oleh tren jarak jauh, Argo Bromo Anggrek yang tiba di landasan sama.
Kereta Api Indonesia (KAI) mengesahkan kesemua mangsa yang meninggal dunia merupakan penumpang tren komuter manakala kesemua 240 penumpang tren jarak jauh terselamat dalam kejadian itu.
Presiden Pengarah KAI, Bobby Rasyidin dalam satu kenyataan berkata kesemua mayat dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati di Jakarta untuk proses pengecaman.
Sementara itu katanya, perkhidmatan tren di stesen terlibat masih digantung.
Terdahulu, Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari mengesahkan 85 mangsa terselamat direkodkan termasuk yang sedang menerima rawatan dan yang telah dibenarkan pulang selepas mengalami kecederaan ringan.