2 MEI : Ahli UMNO diseru agar tidak terus leka dengan menjual sejarah sebaliknya perlu mula merencana masa depan bagi memastikan kelangsungan parti.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata selepas penyusutan sokongan rakyat pada 2018, UMNO masih bertahan sehingga hari ini.
Tegasnya, orang Melayu bukan mahu mendengar rintihan emosi atau simpati sebaliknya mereka mahukan keyakinan masa depan yang boleh UMNO tawarkan.
“Ambillah pengajaran daripada parti lain di seluruh dunia yang seusia dengan kita. Ramai yang telah lupus. Yang masih ada, tidak lagi segah dan sekuat dahulu. UMNO tidak boleh kita biarkan sedemikian.
“Benar, kita telah melalui satu katarsis politik yang besar. Kita menyaksikan kesusutan sokongan rakyat dalam beberapa pilihan raya yang lalu. Kemuncaknya pada 2018. Saat kita tewas dan tergelincir daripada kuasa. Saat paling getir dalam sejarah UMNO.
“Kita diberikan eulogi. Kita diberikan ucapan belasungkawa. Malah, kita hampir ‘ditalkinkan’ oleh lawan dan juga oleh sebahagian daripada kita sendiri. Tetapi UMNO terus berkelangsungan. Ia tidak terkubur. Malah segala gelora dan badai yang UMNO tempuhi itu, telah dilayari dengan tekad yang utuh untuk merawat dan memulihkannya.
“Justeru gunakanlah medan dan arena sebegini untuk mencari ilham serta idea baharu lagi tuntas, bagi kelangsungan UMNO untuk seabad mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Mohamad yang juga Menteri Luar, UMNO perlu bertindak dengan serta-merta bagi mengembalikan keyakinan bangsa dengan kejujuran serta pembaharuan yang nyata.
“Persoalan sekarang, apakah gagasan UMNO untuk masa hadapan? Malaysia yang bagaimana yang ingin kita bina? Melayu yang bagaimana yang ingin kita lahirkan?
“Dalam dunia yang semakin global dan digital, cabarannya jauh lebih kompleks. Bagaimana kita mahu melonjakkan keboleh saingan bangsa Melayu secara drastik? Memposisikan professional Melayu di peringkat antarabangsa? Mengangkat universiti kita menjadi institusi bertaraf dunia?
“Dalam masa sama, bagaimana kita mahu menangani dampak globalisasi dan digitalisasi serta menguruskannya untuk manfaat kelangsungan politik dan kepentingan sosio-ekonomi Melayu,” katanya.