14 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memberi petunjuk tentang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan ketika ini menumpu kepada menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
“Perdana Menteri belum memberi apa-apa ‘signal’ bahawa PRU16 akan berlangsung pada tahun ini. Tapi memang Perdana Menteri memberi penegasan untuk kerajaan usaha-usaha menyelesaikan masalah rakyat terutama bagi rakyat biasa seperti penjaja, peniaga terutama golongan yang memerlukan bantuan. ini mesti disantuni dan diselesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026, hari ini.
Namun, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata meski masih belum ada sebarang tarikh namun pimpinan parti perlu sentiasa bersiap siaga.
“Walaupun usaha ini berlangsung tapi Perdana Menteri mengingatkan terutama ahli-ahli Parlimen, pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Menurutnya, jentera parti perlu diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan kesemuanya bersiap sedia untuk menghadapi PRU atau pilihan raya negeri (PRN) pada bila-bila masa termasuk PRN Johor.
Katanya, PRN Johor juga boleh berlaku pada bila-bila masa meski tiada ketetapan rasmi setakat ini.
“Kita tahu Johor mungkin akan ada pilihan raya. Walaupun mungkin bukan sekarang tetapi tak mustahil dalam masa yang tidak terlalu lama dan kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan berkaitan PRN Johor,” katanya.
Mengulas soal Konvensyen PH peringkat kebangsaan akan berlangsung di Johor pada 17 Mei ini, Fahmi berkata ia akan menjadi platform penting untuk pimpinan PH memperincikan hala tuju serta strategi gerak kerja menjelang pilihan raya akan datang.
Katanya, konvensyen itu dijangka menjadi medan perbincangan penting dalam merangka pendekatan baharu PH bagi menghadapi landskap politik negara yang semakin mencabar.