19 MEI : Kerajaan mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan dan bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha kerajaan itu bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat yang terkesan dengan ketidaktentuan harga bahan api global.
“Kerajaan akan meneruskan intervensi bersasar, termasuk mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak.
“Bagi pesawah pula, Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar mula disalurkan pada hari ini.
“Langkah ini penting kerana kos bahan api dan kos operasi pertanian boleh memberi kesan terus kepada rantaian bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dibentang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan bersetuju ia disusuli selanjutnya oleh kementerian itu.
Akmal berkata cadangan penambahbaikan itu melibatkan penyelarasan kuota subsidi diesel secara seimbang bagi memperkukuh kawalan ketirisan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan.
“Berdasarkan data MySubsidi setakat 9 April lalu, lebih 398,000 kenderaan berdaftar di bawah SKDS. Jumlah ini melibatkan lebih 375,500 kenderaan pengangkutan darat barangan dan sekitar 23,000 kenderaan pengangkutan awam,” katanya.