20 MEI : Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua yang menyentuh kuasa raja disifatkan biadab.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan bekas Ahli Parlimen Damansara itu seumpama kaduk sudah naik junjung yang lupa adab dan batas.
“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.
“Tony Pua ini bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. UMNO bersama Tuanku!,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara melalui kemaskini terbaharu Tony Pua akui terpaksa mencari makna ‘kaduk naik junjung’ yang disebut Asyraf Wajdi itu.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan media menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu hadir ke Dataran Selangor seminggu sekali bagi memahami makna Rukun Negara.
Baginda menitahkan perkara itu agar kedua-dua individu tersebut tahu untuk menghormati kedaulatan institusi Raja serta menjaga adab.
Titah itu dipercayai berkaitan desakan Siew Ki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor di sidang DUN memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Sementara Ronnie Liu mencadangkan penternak babi di Selangor memfailkan semakan kehakiman susulan larangan Sultan Selangor terhadap aktiviti penternakan babi di negeri tersebut.
Pada 7 Mei lalu, Sultan Sharafuddin dilaporkan kekal tidak berkenan penternakan babi dijalankan di negeri itu sama ada dalam skala besar atau kecil dan menitahkan agar isu itu segera dimuktamadkan.
Beberapa jam selepas kenyataan Sultan Sharafuddin itu, Tony Pua dalam hantaran di Facebook yang ditulis dalam bahasa Inggeris berkata Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah mengikat serta menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Tony berkata, beliau akan setia kepada Raja dan Negara serta mematuhi Kedaulatan Undang-Undang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan bukan berdasarkan titah semata-mata.
