25 MEI : Caj jalan persendirian di Jalan Genting Highlands bakal dikenakan mulai 28 Mei ini.
Perkara itu diumumkan syarikat pengendali jalan, Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB) dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat itu, caj dikenakan terhada semua pengguna jalan kecuali kategori tertentu yang diberikan pengecualian.
LCSB memaklumkan, kutipan itu dilaksanakan di dua lokasi utama iaitu pintu masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan pintu masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.
“Bagi kenderaan kelas satu membabitkan kereta dan van, pengguna dikenakan caj RM5 bagi setiap kemasukan di kedua-dua lokasi.
“Kenderaan kelas dua iaitu lori sederhana pula dikenakan caj RM15 manakala lori berat RM25. Teksi dikenakan caj RM3.30 dan bas RM5 bagi setiap kemasukan.
“Semua kenderaan kelas dua hingga lima diwajibkan memasuki laluan khas atau menggunakan sistem Pengecaman Plat Nombor (LPR),” katanya.
Sementara itu, LCSB mengumumkan pengecualian caj bagi beberapa kategori termasuk kenderaan kecemasan dan motosikal tanpa memerlukan pendaftaran.
Pengecualian turut diberikan kepada kenderaan persendirian penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan tertentu di Genting Highlands, tertakluk kepada proses pendaftaran dan penggunaan laluan LPR atau lorong khas.
Antara institusi terbabit ialah Sekolah Kebangsaan Sri Layang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Layang, Institut Aminuddin Baki, Balai Polis Genting Highlands, Balai Polis Gohtong Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands serta beberapa pejabat kerajaan negeri dan daerah.
LCSB akan memperkenalkan skim khas untuk penduduk tetap Genting Highlands dengan pendaftaran sehingga dua kenderaan kelas satu bagi setiap pemohon yang layak mulai 28 Jun ini.
Katanya, penduduk tetap boleh memilih kadar caj istimewa iaitu 10 peratus lebih rendah bagi setiap kemasukan atau melanggan pas bermusim selama enam bulan yang menawarkan kemasukan tanpa had sepanjang tempoh sah.
Dalam pada itu, kenderaan milik penduduk tetap tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun ini.
“Pengecualian dan kadar istimewa ini akan disemak secara berkala berdasarkan keperluan operasi dan perubahan dasar,” kata syarikat itu.