28MEI : Amerika Syarikat (AS) dituduh melanggar perjanjian gencatan senjata berulang kali dengan melancarkan serangan terhadap Iran.
Terbaharu, Iran mengecam keras serangan tentera AS berhampiran Bandar Abbas di selatan Iran yang berlaku hari ini.
Kementerian Luar Iran menuduh Washington berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dan mengugut negara serantau, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata serangan AS berhampiran lapangan terbang di Bandar Abbas yang dilakukan awal pagi Khamis adalah pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Esmaeil mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaksanakan kewajipan undang-undangnya dengan memastikan AS dipertanggungjawabkan atas pencerobohan terhadap integriti wilayah dan kedaulatan Iran.
Beliau turut menuduh Washington terus melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 8 April lalu.
Esmaeil merujuk kepada serangan terhadap kapal dagang di rantau Teluk dan perairan antarabangsa, selain serangan udara terbaharu di selatan Iran.
Beliau menegaskan tekad Iran untuk mengambil semua langkah perlu bagi mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya.
Terdahulu, seorang pegawai AS mengesahkan tenteranya menembak jatuh empat dron Iran berhampiran Selat Hormuz dan menyerang sebuah stesen kawalan darat Iran di Bandar Abbas yang didakwa sedang bersiap sedia melancarkan satu lagi dron.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata sebagai tindak balas terhadap serangan itu pihaknya menyasarkan sebuah pangkalan udara AS di Kuwait.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini melanjutkan tempoh gencatan senjata tanpa had selepas rundingan di di Islamabad gagal menghasilkan penyelesaian kekal.