18 JUN : Perikatan Nasional (PN) memberhentikan perkhidmatan Datuk Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam gabungan itu, berkuat kuasa serta merta.
Pengerusinya, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan penstrukturan semula pentadbiran PN itu dibuat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin diberhentikan perkhidmatan, dan digantikan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
“Bendahari, Muhammad Sanusi diberhentikan perkhidmatan dan digantikan dengan Subramaniam Surunaryan.
“Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberhentikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, tengah malam ini.
Katanya, penstrukturan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat berdasar peruntukan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI), dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memaklumkan suatu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi gabungan itu.