17 SEPT : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menjelaskan perkara itu dengan ringkas, beliau berkata semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) memutuskan perkara itu pada mesyuarat yang berlangsung, kelmarin.
Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sudah diminta meneruskan proses pewartaan proklamasi itu mengikut peraturan sedia ada.
“Pada hari ini saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang sudah dibincangkan dan diputuskan semua Exco secara sebulat suara pada mesyuarat MMK pada 15 September lalu.
“Proses pewartaan sudah pun kita minta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk teruskan dengan mengikut peraturan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ringkas selepas Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.
Ismail menolak diajukan sebarang soalan dan hanya memberi kenyataan ringkas.
Beliau mengulas kenyataan MMK semalam yang secara rasmi mengumumkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diturunkan daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan itu juga memaklumkan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pada 9 September lalu, Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen yang didakwa sebagai proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ditandatangani Ismail.
Namun, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen proklamasi itu.
*Foto : Media MBNS