Malaysia-Rusia bincang peluang kerjasama sektor teknologi, farmaseutikal
18 JUN : Malaysia dan Rusia bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan ketika pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kazan, Rusia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia turut menghargai ketetapan Rusia untuk memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
“Mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang merupakan antara bidang strategik bagi Malaysia dan Persekutuan Rusia.
“Saya terlebih dahulu sampaikan salam Tuanku Agong (Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim), di samping menzahirkan penghargaan atas layanan mesra dan penghormatan yang sentiasa diberikan kepada Malaysia.
“Saya menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
“Kami juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, perbincangan kedua-dua pemimpin turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu ringgit dan ruble.
Pada masa sama, Anwar memuji pendirian Putin yang konsisten dan berprinsip dalam menyuarakan pandangan berhubung isu Gaza dan Iran.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara menerusi kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat.
