22 JUN : Hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh dek pertikaman mulut antara ahli Parlimen kerajaan dengan pembangkang.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bangkit menyentuh soal pertukaran jawatan Ketua Pembangkang yang didakwa berpunca daripada PAS.
“Ketua Pembangkang tiba-tiba tukar-menukar macam itu…itu adalah pergaduhan antara PAS dengan Bersatu.
“PAS buli Bersatu, sebab itu Ketua Pembangkang tukar-tukar. ‘Double standard‘, tak profesional langsung,” katanya.
Kekecohan itu tercetus ketika Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menjelaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan Ahli Parlimen Bebas, sebaliknya merupakan ahli kepada sebuah parti politik yang berdaftar.
Beliau menjelaskan kedudukan Ahli Parlimen Larut itu sebagai Ketua Pembangkang tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Khoo yang kemudiannya mencelah dan mengundang pertikaman lidah antaranya dengan wakil pembangkang termasuk Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).
Keadaan kemudiannya ditenangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dengan menegaskan semua dokumen dan pemakluman yang dikemukakan sudah diteliti di mana kedudukan Hamzah sah sebagai Ketua Pembangkang.
“Mungkin Kota Melaka datang lewat. Saya sudah jelaskan, semua dokumentasi perhalusi dan saya sahkan Larut adalah Ketua Pembangkang. Jadi tiada soalan lagi,” katanya.
Pada awal sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan tadi, Johari mengumumkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang berkuatkuasa 18 Jun lalu.
“Datuk Seri Hamzah Zainudin, merupakan Ketua Pembangkang sehingga 20 Mei 2026. Selepas itu, Yang Berhormat Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyandang jawatan tersebut mulai 21 Mei hingga 10 Jun 2026.
“Seterusnya, berkuat kuasa mulai 18 Jun 2026, Yang Berhormat Larut telah kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Ahmad Samsuri atas khidmatnya sebagai Ketua Pembangkang dalam tempoh tersebut.