Malaysia hargai komitmen Bangladesh bantu komuniti Rohingya
22 JUN : Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Bangladesh dalam membantu komuniti Rohingya.
Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke Malaysia.
Namun Anwar menegaskan, Malaysia kekal berpendirian penyelesaian terbaik bagi krisis itu ialah penghantaran pulang komuniti Rohingya secara selamat ke Myanmar.
Kedua-dua pemimpin hari ini mengadakan pertemuan empat mata yang turut membincangkan situasi di Myanmar termasuk perkembangan berkaitan krisis Rohingya.
“Kami juga memberi fokus kepada situasi di Myanmar, termasuk perkembangan berkaitan krisis Rohingya serta menegaskan kepentingan meneruskan usaha damai melalui penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan.
“Saya menghargai komitmen Bangladesh dalam membantu komuniti Rohingya dan Malaysia kekal berpendirian bahawa penyelesaian terbaik ialah penghantaran pulang mereka secara selamat ke Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, beliau dan Trique turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang memerlukan pendekatan berteraskan dialog, keamanan dan saling menghormati.
Katanya, perbincangan dua hala yang berlangsung dalam suasana penuh hormat itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pendidikan, pembangunan modal insan, pertanian, industri halal serta pengurusan tenaga kerja,” kata Menteri Kewangan itu.
Pada masa sama, Anwar berkata Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap Bangladesh sebagai rakan penting di Asia Selatan dan yakin masih banyak potensi kerjasama yang boleh diteroka demi kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
“Saya percaya kesepakatan yang dicapai hari ini akan terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Bangladesh serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Tarique dan delegasinya diberi sambutan rasmi di Perdana Putra termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan terdiri daripada 105 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dipimpin Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.
Menurut Anwar, pemilihan itu mencerminkan eratnya hubungan persahabatan dan kepercayaan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara selain menjadi satu penghormatan yang amat bermakna buat Malaysia.
Beliau berkata, kesepakatan yang dicapai menerusi lawatan tersebut diyakini mampu memperkukuh hubungan dua hala serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.
Tarique memilih Malaysia sebagai destinasi rasmi pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan Perdana Menteri Bangladesh pada Februari lalu.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA