30 JUN : Barisan Nasional (BN) memilih berkempen dengan tenang tanpa sebarang pergaduhan mahu pun memaki hamun sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru agar gabungan itu melaksanakan tugas masing-masing bagi memastikan pilihan raya itu berjalan dengan sebaiknya.
“Seperti mana disebutkan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kita mengambil lebih kepada pendekatan berhemah sebab kita sekarang berada di peringkat Persekutuan, kita berada dalam kerajaan yang sama dan pelbagai parti bertanding.
“Jadi seruan saya kepada semua pihak kita telah pun memberikan arahan kepada semua seperti biasa, BN bekerja tanpa banyak bercakap, kita tidak pandai untuk maki hamun itu dan ini atau menabur fitnah.
Kita buat kerjalah untuk memastikan supaya PRN ini berjalan dengan begitu baik…saling hormat, menghormati di antara satu sama lain dan masing-masing menggunakan ruang ini untuk menawarkan apa yang terbaik.
“Dan tentunya dalam konteks BN, kita telah pun menyampaikan sesuatu yang terbaik untuk rakyat dan juga memberi sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Semikonduktor@UiTM di UiTM Shah Alam, hari ini.
Menurut Zambry, rakyat di Johor bebas memilih tanpa sebarang paksaan dan BN perlu menangi hati pengundi dengan hujah-hujah yang terbaik.
“Hak untuk mengundi ini kita tidak boleh memaksa tetapi yang paling mustahak ialah kita membawa asas-asas dan juga hujah-hujah yang baik kenapa mereka perlu memilih BN,” katanya.