30 JUN : Harga petrol dan diesel diturunkan 10 sen minggu ini berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata harga runcit RON97 diturunkan sebanyak 10 sen kepada RM4.00 seliter dan harga RON95 tanpa subsidi diturunkan sebanyak 10 sen kepada RM3.37 seliter.
Sementara harga runcit diesel tanpa subsidi diturunkan sebanyak 10 sen kepada RM3.97 seliter.
“Harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diumumkan hari ini bagi menyelaraskan tempoh harga baharu dengan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mulai esok, 1 Julai 2026,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MoF, harga pasaran petroleum antarabangsa terus menyederhana berbanding paras tertinggi yang dicatatkan semasa kemuncak krisis Asia Barat.
“Perkembangan ini disokong oleh tanda-tanda pemulihan aliran bekalan global serta jangkaan bahawa rundingan berkaitan konflik tersebut dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak mentah.
“Namun begitu, pasaran petroleum global masih belum kembali sepenuhnya stabil. Risiko terhadap harga minyak mentah, kos penghantaran dan kestabilan bekalan masih kekal selagi konflik belum mencapai penyelesaian muktamad, manakala pemulihan rantaian bekalan juga mengambil masa,” menurut MoF.
Dalam pada itu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat meski bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini.
“Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” kata kementerian itu lagi.
BUDI Diesel dilaksanakan mulai esok membolehkan rakyat Malaysia yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
