1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dari semasa ke semasa memantau perkembangan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-16 mulai dari Hari Penamaan Calon pada 27 Jun 2026 lalu sehingga kini. Tempoh kempen PRU Dewan Negeri Johor ke-16 adalah sehingga 10 Julai 2026 jam 11:59 malam seperti mana yang telah ditetapkan oleh SPR.
2. Bagi tujuan pemantauan tersebut, 56 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah ditubuhkan oleh SPR bagi menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di sepanjang tempoh berkempen.
3. Sehingga 2 Julai 2026, SPR telah menerima laporan dan aduan kempen pilihan raya yang melibatkan sejumlah 305 pelbagai kesalahan berkempen oleh parti-parti politik yang bertanding. Laporan aduan yang diterima di bawah bidang kuasa PP-KPR telah diambil tindakan susulan yang sewajarnya. Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah:
a. Bahan kempen dinaikkan di kawasan larangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebanyak 140 kesalahan;
b. Bahan kempen yang dinaikkan di kawasan yang menghalang pandangan pengguna jalan raya dan lalu lintas sebanyak 90 kesalahan;
c. Bahan kempen didapati berada di dalam kawasan 50 meter daripada Pusat Mengundi sebanyak 27 kesalahan; dan
d. Sebanyak 48 lagi adalah di bawah kesalahan-kesalahan lain.
4. Selain itu, SPR sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memastikan aktiviti-aktiviti berkempen berada di dalam keadaan baik dan tahap yang terkawal.
5. Sehubungan dengan itu, SPR menyeru kepada calon-calon dan parti-parti politik yang bertanding agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR dan agensi-agensi penguat kuasa lain bagi memastikan aktiviti-aktiviti berkempen dapat berjalan dengan baik dan lancar.
6. SPR amat komited dalam melaksanakan pilihan raya yang cekap, adil dan telus serta berintegriti termasuk sepanjang tempoh berkempen pilihan raya ini berlangsung.
DATUK KHAIRUL SHAHRIL IDRUS
SETIAUSAHA SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA