10 JUL : Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok tidak menjejaskan hubungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan sentiasa profesional meski ketika ini mereka bertembung di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.
“Setakat ini, ia tidak mengganggu dan saya mengharapkan keadaan itu akan terus kekal kerana kita ialah menteri dan timbalan menteri yang bekerja secara profesional.
“Mungkin kita berbeza pandangan di Johor dan membangkitkan isu bagi memenangkan calon masing-masing, namun dalam setiap mesyuarat Kabinet kita tetap bermusyawarah dengan hikmah, baik dan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Himpunan Munajat BN Parlimen Kulai, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berharap pemimpin dan penyokong kedua-dua gabungan itu bakal menerima apa jua keputusan esok tanpa dipengaruhi emosi.
Mengulas soal kerjasama dengan PAS jika berjaya membentuk kerajaan negeri esok, Ahmad Zahid berkata perkara itu sepatutnya tidak dijadikan isu.
“Saya fikir realiti politik perlu diterjemahkan dalam apa juga keadaan. Datuk Onn Hafiz (Menteri Besar Johor) tidak bermaksud demikian.
“Apabila menyebut mengenai sebuah parti lain yang kita tidak bersama dan tidak berhajat membentuk kerajaan dengannya, ia tidak memperlihatkan dasar perkauman kerana parti ialah parti, bukannya bangsa.
“Saya melihat Datuk Onn Hafiz sebagai seorang yang sangat berhati-hati, berhemah dan bijaksana dalam menangani isu. Saya tidak fikir perkara itu perlu dijadikan isu penting hanya beberapa jam sebelum pengundian,” katanya.