11 JUL : Tentera rejim zionis Israel mengenakan larangan selama seminggu terhadap Mufti Besar Baitulmuqaddis dan Palestin, Sheikh Mohammad Hussein daripada memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Larangan itu dikeluarkan pada Jumaat selepas beliau ditahan sejurus selesai menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), penahanan itu disahkan sumber tempatan.
Susulan penahanan tersebut, pihak berkuasa Israel menyerahkan perintah yang melarang Sheikh Hussein memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa selama satu minggu.
Sheikh Hussein turut berkhidmat sebagai pengkhutbah Masjid Al-Aqsa dan merupakan antara tokoh agama tertinggi di Palestin.