13 JUL: Reformasi institusi bukan sekadar memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tetapi lebih utama ianya membina institusi pendakwaan yang lebih telus, bebas dan bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia demi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
“Inilah legasi sebenar agenda reformasi institusi yang diperjuangkan Kerajaan MADANI iaitu mewariskan institusi lebih kukuh, lebih berintegriti, berdaya tahan dan diyakini demi kepentingan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Pernyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.
Katanya, cadangan pindaan itu merupakan satu lagi langkah signifikan dalam merealisasikan agenda reformasi institusi secara bertanggungjawab.
“Hasil penelitian JKPK yang bersidang sebanyak tujuh kali telah memperhalusi cadangan asal melalui tujuh penambahbaikan utama bagi memperkukuh kebebasan, integriti dan akauntabiliti institusi Pendakwa Raya.
“Antaranya pemerkasaan peranan Parlimen dalam proses pelantikan, pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa penglibatan Perdna Menteri atau jemaah menteri, tempoh jawatan tetap tujuh tahun tanpa pembaharuan, pengenalan Kod Etika Pendakwa Raya serta kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang lanjut bagi memperkuluih institusi ini,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan turut mencadangkan pindaan kepada Fasal (18) Perkara 145A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan lagi peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.
“Melalui pindaan ini, SPKP hendaklah mengemukakan nama calon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.
“Dewan Rakyat kemudiannya hendaklah meneliti calon tersebut melalui suatu Jawatankuasa Pilihan sebelum membuat syor kepada SPKP.
“Selaras dengan syor tersebut, SPKP hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong hanya berhubung nama yang disyorkan Dewan Rakyat,” katanya.
Tambahnya, langkah itu diambil bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang tanpa menjejaskan kebebasan Pendakwa Raya atau kedudukan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan.