18 JUL : Amerika Syarikat (AS) mengehadkan tempoh visa pelajar antarabangsa dan wartawan asing, sekali gus memperketat dasar imigresen negara itu.
Peraturan yang dijangka berkuat kuasa September ini menetapkan visa pelajar asing dihadkan kepada maksimum empat tahun manakala wartawan asing hanya dibenarkan berada di AS selama 240 hari bagi setiap kemasukan.
Wartawan dari China pula dikenakan syarat lebih ketat dengan tempoh visa hanya 90 hari bagi setiap kemasukan.
Langkah itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada pertubuhan kebebasan media dan institusi pengajian tinggi.
Ia disifatkan boleh menjejaskan kebebasan media serta mengurangkan daya tarikan AS sebagai destinasi pendidikan.
Pengurus Advokasi Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) Amerika Utara, Ben Grazda berkata sekatan itu akan menyukarkan wartawan antarabangsa menjalankan tugasan di AS.
“Perubahan ini memusnahkan keupayaan wartawan antarabangsa untuk membuat liputan dari AS dan menyukarkan pertubuhan media asing beroperasi di negara ini,” katanya.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) turut menyifatkan langkah itu sebagai petanda kemerosotan kebebasan media di negara berkenaan.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), peraturan itu dimuktamadkan selepas menerima hampir 22,000 maklum balas awam sejak Ogos tahun lalu.
DHS mendakwa terdapat pelajar asing yang berulang kali menyambung pengajian semata-mata untuk terus tinggal di AS, selain menyifatkan sistem visa sedia ada menyukarkan pemantauan.
Data rasmi menunjukkan AS menerima lebih 1.1 juta pelajar antarabangsa bagi sesi akademik 2023-2024 dengan sumbangan melebihi AS$50 bilion (RM204 bilion) kepada ekonomi negara itu.
Namun, institusi pengajian tinggi memberi amaran peraturan baharu itu akan menjejaskan daya saing universiti AS dalam menarik pelajar berbakat dari seluruh dunia.
Peraturan itu kini menunggu semakan Kongres AS yang dikuasai Parti Republikan.