21 JUL : Kemajuan teknologi yang pesat memerlukan pendekatan baharu dalam memastikan perkhidmatan digital kekal selamat, bertanggungjawab dan dipercayai pengguna.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata jangkaan masyarakat terhadap teknologi kini semakin tinggi apabila pengguna bukan sahaja mahukan perkhidmatan digital pantas, tetapi turut menuntut keselamatan, akauntabiliti platform serta inovasi yang mampu meningkatkan kualiti hidup tanpa mewujudkan ancaman baharu.
Menurutnya, perkara itu menjadi asas kepada penganjuran Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang membawa tema ‘Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust’.
“Belum pernah sebelum ini teknologi berkembang begitu pantas, dalam masa sama jangkaan awam turut meningkat dengan ketara. Pengguna menjangkakan perkhidmatan digital yang selamat, platform yang bertanggungjawab dan inovasi yang meningkatkan kehidupan tanpa mewujudkan kelemahan baharu.
“Lebih penting, mereka menjangkakan kepercayaan sebab itu tema IRC 2026 sangat tepat pada masanya,” katanya ketika berucap pada IRC 2026, hari ini.
Fahmi berkata Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam transformasi digital menerusi pelbagai inisiatif termasuk Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), peluasan rangkaian 5G, pelaburan infrastruktur kabel dasar laut serta agenda digital nasional.
Katanya, kejayaan transformasi digital tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kelajuan Internet, liputan rangkaian atau jumlah pelaburan sebaliknya turut dinilai melalui peluang yang diwujudkan, keyakinan rakyat serta impaknya terhadap kehidupan seharian.
“Kemajuan digital mesti diukur bukan sahaja melalui kelajuan, liputan atau pelaburan, tetapi juga sama ada ia mencipta peluang, memperoleh keyakinan awam dan akhirnya meningkatkan kehidupan rakyat,” katanya.
Fahmi berkata cabaran utama era digital baharu ialah memastikan pengguna terus mempercayai platform yang digunakan, maklumat yang diterima serta sistem digital yang semakin mempengaruhi kehidupan mereka.
Beliau berkata inovasi dan tanggungjawab perlu bergerak seiring terutama dalam aspek keselamatan dalam talian yang tidak boleh hanya bergantung kepada pengguna, ibu bapa atau pendidik.
Katanya, tanggungjawab turut perlu dipikul oleh pihak yang membangunkan, mengurus dan mengendalikan persekitaran digital.
“Dalam konteks ini, Malaysia memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mengubah pendekatan daripada bertindak selepas kemudaratan berlaku kepada pencegahan, memperkukuh akauntabiliti platform serta memberikan perlindungan lebih besar kepada kanak-kanak dan komuniti rentan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, perkembangan seperti AI, komunikasi kuantum, sistem autonomi dan robotik canggih menawarkan peluang besar namun turut membawa cabaran berkaitan ketelusan, bias, penyebaran maklumat palsu, keselamatan siber serta keperluan pengawasan manusia.
Beliau menegaskan, tadbir urus teknologi perlu berkembang seiring perubahan teknologi dengan membentuk rangka kerja yang fleksibel, menggalakkan inovasi dan pada masa sama memberi kepastian kepada industri serta keyakinan kepada masyarakat.
Katanya, cabaran digital tidak boleh ditangani oleh mana-mana kerajaan, pengawal selia, syarikat atau organisasi antarabangsa secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama merentas sektor dan negara.
“Keutamaan kita mesti menterjemahkan dialog kepada tindakan. Saya berharap IRC 2026 bukan sekadar menghasilkan perbincangan bermakna, tetapi turut mempengaruhi dasar, mengukuhkan kerjasama dan menghasilkan penyelesaian praktikal,” katanya.
