28 JUL : Myanmar meluluskan undang-undang baharu yang membenarkan hukuman mati dikenakan terhadap individu memaksa orang lain untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian.
Parlimen disokong tentera meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antipenipuan Dalam Talian itu hari ini, selepas beberapa pindaan dipersetujui.
Speaker Parlimen Kesatuan, Aung Lin Dwe berkata kandungan utama RUU itu kekal seperti draf asal.
“Tiada banyak perubahan besar dibuat. Bahagian penting dalam RUU itu kekal sama,” katanya.
Draf undang-undang itu diterbitkan pada Mei memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga seumur hidup.
Hukuman mati pula boleh dikenakan terhadap individu melakukan keganasan, penyeksaan, penahanan secara tidak sah atau layanan kejam bagi memaksa seseorang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian.
RUU itu turut menetapkan hukuman penjara seumur hidup terhadap individu mengendalikan pusat penipuan dalam talian.
Hukuman sama juga dikenakan kepada mereka terbabit dalam penipuan mata wang kripto.
Myanmar kini berdepan peningkatan kegiatan sindiket penipuan dalam talian susulan konflik berpanjangan. Kumpulan jenayah itu menyasarkan mangsa dari pelbagai negara.
Undang-undang berkenaan menjadi akta pertama diluluskan kerajaan baharu Myanmar di bawah pimpinan bekas ketua junta, Min Aung Hlaing.