30 JUL : Pentadbiran Presiden Donald Trump menegaskan Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyalurkan dana kerajaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Gavi, Perikatan Vaksin.
Ketetapan itu diumumkan serentak dengan pelepasan dana berjumlah AS$600 juta diluluskan Kongres kepada Gavi bagi tahun fiskal 2025 serta 2026.
“Amerika Syarikat turut menegaskan bahawa ia tidak akan menyediakan dana kerajaan AS kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerusi Gavi,” menurut kenyataan bersama Jabatan Negara bersama Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS).
Menurut kenyataan itu, Trump pada tahun lalu mengarahkan Setiausaha HHS Robert F. Kennedy Jr. serta Setiausaha Negara Marco Rubio mengadakan rundingan dengan Gavi sebelum sokongan AS disambung semula.
Katanya, rundingan berkenaan menghasilkan beberapa komitmen bagi meningkatkan aspek keselamatan vaksin di samping menyelaraskan pendekatan Gavi dengan prinsip “Gold Standard Science”.
Susulan persetujuan itu, Jabatan Negara memaklumkan keseluruhan dana AS$600 juta diluluskan Kongres akan disalurkan serta-merta kepada perikatan vaksin berkenaan.
Menurut kenyataan sama, Gavi turut bersetuju bekerjasama dengan lembaga pengarah serta negara rakan bagi menggantikan beberapa formulasi vaksin mengandungi merkuri kepada alternatif bebas merkuri.
Perubahan itu membabitkan vaksin meningokokal A, vaksin pentavalen DTP-Hib-HepB, vaksin pneumokokal serta vaksin hepatitis B.