Peruntukan disalur terus kepada rakyat, bukan ahli Parlimen
7 OGOS : Dakwaan kononnya kerajaan menyekat peruntukan Ahli Parlimen tidak timbul kerana dana awam sememangnya disalurkan terus kepada rakyat.
Penegasan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata peruntukan kerajaan disalurkan terus bagi membiayai pelbagai keperluan masyarakat termasuk pembaikan sekolah, sekolah agama, masjid serta kemudahan awam dan bukannya diberikan secara terus kepada ahli Parlimen.
“Peruntukan tidak semestinya bagi kepada ahli Parlimen. Peruntukan diberi terus kepada rakyat. Sejak bila kita kena bagi kepada ahli Parlimen?
“Kalau ada peruntukan RM2 juta…RM2 juta itu kepada rakyat…kepada sekolah, sekolah agama, masjid, longkang baiki…itu yang kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Alor Gajah, hari ini.
Anwar mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi mempunyai akses kepada sistem MyKhas bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan yang digunakan kerajaan dalam mengagihkan dana itu bukan baharu sebaliknya sudah lama dilaksanakan kerajaan.
Jelasnya, dana yang sepatutnya digunakan untuk rakyat itu disalurkan dengan sewajarnya bagi pelbagai keperluan termasuk sekolah, masjid dan baik pulih longkang serta tandas.
“Dasar itu terpakai sejak dulu semasa mereka ahli Parlimen dulu. Mereka tahu…sekarang dia menentang, jadi kita salurkan terus kepada rakyat. Semua Ahli Parlimen pun tahu mengenainya dan sekarang mereka menentang jadi kita salurkan terus kepada rakyat.
“Tiada sekatan. Sekatan tak payah bagi pada ahli Parlimen. Bagi kepada rakyat. Yang penting apa? Peruntukan untuk siapa? Untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat? Jadi peruntukan itu untuk rakyat.
“Sekolah, sekolah agama, madrasah, masjid, tandas yang rosak, longkang…semuanya diluluskan,” katanya.
