10 OGOS : Israel secara rasmi menolak pelan damai Gaza 15 perkara diterajui Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan tentera negara itu tidak akan berundur selagi Hamas belum dilucutkan senjata sepenuhnya.
Dalam mesyuarat Kabinet pada Ahad, Netanyahu berkata Israel menolak dokumen disokong Presiden AS, Donald Trump itu serta akan terus mengambil tindakan terhadap sebarang ancaman keselamatan.
Beliau turut menegaskan Israel hanya menerima pelucutan senjata secara menyeluruh, termasuk senjata ringan milik Hamas.
Pelan diumumkan Trump pada 30 Julai itu menggariskan proses pelucutan senjata Hamas serta kumpulan bersenjata lain secara berperingkat termasuk penghapusan senjata berat, depoh senjata, kemudahan pengeluaran senjata serta rangkaian terowong di Gaza.
Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin, pula menuduh Netanyahu cuba melengahkan perjanjian Gaza sehingga selepas pilihan raya Israel pada Oktober depan.
Beberapa jam selepas kenyataan Netanyahu, Hamas menegaskan semula komitmennya terhadap pelan berkenaan serta menggesa negara pengantara dan penjamin memastikan proses itu tidak digagalkan.
Pendirian terbaharu Israel dilihat berpotensi merumitkan usaha antarabangsa menamatkan konflik, terutama apabila pelan itu turut mencadangkan pentadbiran harian Gaza diserahkan kepada jawatankuasa teknokrat Palestin di bawah penyeliaan Board of Peace diterajui AS.