10 OGOS : Perikatan Nasional (PN) mencadangkan sidang khas Parlimen yang dijadualkan esok bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) ditangguhkan ke suatu tarikh yang lebih sesuai.
Ia susulan perkembangan terkini membabitkan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua WHIP PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya sudah mengutuskan sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung perkara berkenaan.
“PN mendoakan agar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) dikurniakan kesembuhan segera agar dapat kembali bertugas seperti biasa.
Sehubungan itu, PN mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 Ogos bagi membentangkan laporan RCI berkaitan TH ditangguhkan ke suatu tarikh yang lebih sesuai susulan perkembangan terkini membabitkan keadaan kesihatan Perdana Menteri.
“PN menghantar sepucuk surat rasmi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi memohon penangguhan sidang tersebut dan surat permohonan itu sudah diterima secara rasmi oleh pihak pejabat beliau pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pagi tadi, Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan Anwar menjalani pemeriksaan kesihatan dan berada dalam pemantauan selama dua hari.
Sidang khas di Parlimen itu dijadualkan esok bagi membahaskan laporan RCI berkait TH
Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata memandangkan isu TH merupakan perkara yang sangat penting dan melibatkan kepentingan awam, amat wajar sekiranya pembentangan laporan ini dibuat sendiri oleh Anwar.
“Ini kerana, Perdana Menteri sendiri telah membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan, sedangkan laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun yang lalu.
“Justeru, kehadiran Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI ini adalah amat signifikan.
“Ia bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan Perdana Menteri sendiri sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dilaporkan bakal membentangkan penerangan menteri dalam mesyuarat khas berkenaan yang dijadualkan bermula jam 10 pagi.