12 OGOS : Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi menurun bagi tempoh 13 Ogos hingga 19 Ogos 2026, susulan kejatuhan harga minyak dunia pada minggu lalu.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga runcit RON97 menurun sebanyak 20 sen kepada RM4.15 seliter, RON95 tanpa subsidi menurun 15 sen iaitu RM3.62 seliter manakala diesel tanpa subsidi menurun 10 sen menjadi RM4.47 seliter.
“Harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah menyebabkan harga minyak dunia diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar minggu lalu.
“Harga minyak mentah Brent merosot ke bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM), iaitu paras terendah dalam tempoh tiga minggu,” menurut MoF dalam kenyataan, hari ini.
Namun begitu, MoF berkata premium risiko geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan APM apabila prospek rundingan antara AS dan Iran kembali merosot susulan tuntutan baharu yang dikemukakan kedua-dua pihak.
“Harga Brent meningkat hampir 5 peratus pada Isnin apabila kebimbangan terhadap pembukaan semula Selat Hormuz kembali memuncak.
“Ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz terus menimbulkan risiko gangguan bekalan minyak dunia, sekali gus memberi tekanan terhadap harga petroleum.
“Dengan itu, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MoF berkata Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.
Namun begitu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat selain merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.
Katanya, melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, Kerajaan MADANI terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran.
“Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.63 seliter, bersamaan kira-kira 82% daripada harga RM1.99 seliter yang dibayar di pam.
“Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.37 seliter, bersamaan kira-kira 113% daripada harga RM2.10 seliter yang dibayar di pam,” menurut MoF.
Tambah MoF, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.