KENYATAAN MEDIA
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SARAWAK
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.
Cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.
Setakat jam 4.00 petang, JPNS telah menerima laporan sekolah yang akan ditutup pada 13 Ogos 2026 (Khamis) melibatkan 107 buah sekolah iaitu 8 buah sekolah menengah dan 99 buah sekolah rendah bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Serian.
Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan serta merujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019; Langkah- Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bagi Menjamin Kesihatan Dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal bertarikh 15 Januari 2019 dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.
Semua institusi pendidikan bawah seliaan JPNS dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan seperti yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2023; Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Semasa Cuaca Panas bertarikh 6 Jun 2023.
Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
JPNS mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SARAWAK