15 OGOS : Kehilangan berbilion ringgit dalam Tabung Haji (TH) yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)membuktikan memang berlaku perbuatan ‘sakau’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau menegaskan perkara itu meski ada yang tidak menyukai perkataan tersebut.
“Ada orang tidak suka istilah sakau. Saya nak ulang di Melaka ini, memang ada sakau dalam Tabung Haji.
“RM12 bilion hilang, bukan sakau? Memang ada sakau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka, hari ini.
Justeru itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihak terlibat perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan tidak boleh terus menyembunyikan isu itu atau mengelakkannya daripada dibahaskan secara terbuka termasuk di Parlimen.
“Yang menyakau itu sesetengah sahaja tetapi yang terpaksa bayar dan tanggung, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Tidak kira dari parti mana. Salah, tangkap dan dakwa,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pentadbiran terdahulu yang tidak mendedahkan laporan RCI berkenaan lebih awal meski sudah siap lama.
Katanya, tindakan tegas dalam perkara itu tidak sepatutnya dilabel sebagai dendam politik.
“Walaupun kelihatan pintar tetapi itu penuh hipokrasi sebenarnya kerana bila tidak ambil tindakan kamu lembab tetapi apabila kita bertindak, itu dendam,” katanya.
Terdahulu, laporan RCI berhubung isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan kepada umum yang mengandungi 25 syor penambahbaikan.
Susulan itu, Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan laporan berkenaan dibahaskan di Parlimen.
*Foto : Facebook TokMin 4 P132 Port Dickson