15 OGOS : Seramai 5.3 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula menerima bayaran secara berperingkat mulai hari ini dengan peruntukkan RM1.2 bilion.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan daripada keseluruhan penerima, 3.9 juta merupakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah sementara 1.4 juta merupakan warga emas tiada pasangan.
Menurut MoF, jumlah penerima juga meningkat sebanyak 300,000 berbanding 5 juta penerima pada awal tahun.
“Bagi Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 dan RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun 2026 mencecah RM3.6 bilion.
“Bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan.
“Jumlah ini tidak termasuk pemberian one-off SARA untuk Semua kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas,” menurut MoF dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3.
“STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara Kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
“Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” katanya.
Kenyataan MoF juga menyebut penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan. Kata MoF menjelaskan peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan serta hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun 2016.

“Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai 15 Ogos 2026. Penerima yang tidak mempunyai akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
“Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi STR di bantuantunai.hasil.gov.my. Soalan lazim (FAQ) berkenaan STR turut disediakan di portal tersebut manakala FAQ SARA boleh disemak melalui portal rasmi SARA di sara.gov.my,” menurut MoF.
Namun kementerian itu mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk kepada portal rasmi STR bagi mendapatkan maklumat terkini.