17 OGOS : Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya dijadikan ukuran untuk menilai semula kerjasama Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Persekutuan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata meski BN berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa PRN, kerjasama di peringkat Persekutuan tetap perlu diteruskan demi memastikan kestabilan politik negara.
“Perbezaan pentadbiran di peringkat negeri tidak menghalang kerjasama baik di peringkat Persekutuan. Ini adalah struktur dan realiti yang unik tentang negara kita.
“Bentuk kerjasama dan kelaziman politik seperti ini harus mula diterima dengan matang dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, BN sentiasa serius dalam setiap kerjasama yang dijalinkan dan tidak mengambil mudah komitmen yang SUDah dipersetujui.
“Ini termasuklah dalam isu penyertaan dan kedudukan BN dalam Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan PH dan PKR.
“Lebih-lebih lagi persetujuan dan komitmen BN untuk bersama-sama menjayakan pembentukan Kerajaan Persekutuan ini adalah dibuat atas kesedaran untuk memberikan kestabilan politik dalam negara.
“Pendirian ini selari dengan kenyataan yang sudah ditegaskan oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata BN melihat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sebagai satu keputusan politik yang perlu diuruskan apabila tiba masanya, tanpa menjejaskan komitmen sedia ada dalam Kerajaan Persekutuan.