9 SEPT : UMNO menyifatkan kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pengampunan sebagai tindakan seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa pengampunan itu merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Kuasa pengampunan ini adalah hak prerogatif baginda yang termaktub jelas di dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau pada masa sama mempersoalkan pendirian PH mengenai pengampunan diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau belum selesai menjalani hukuman penuh pada ketika itu.
“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut sebarang keputusan tertentu berhubung perkara itu.
Katanya, sebarang keputusan dibuat melalui proses sah perlu dihormati semua pihak.
“Berbeza dengan PH, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.
“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Asyraf Wajdi turut mendakwa tindakan PH itu menyerlahkan pendirian sebenar gabungan berkenaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.
Beliau mendakwa PH sebelum ini beberapa kali meremehkan dan mempertikaikan institusi berkenaan demi kepentingan politik.
“Tindakan terkini ini secara tidak langsung menyerlahkan ‘warna sebenar’ PH yang sudah beberapa kali meremeh dan mempertikai Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik mereka.
“Ini jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat yang telah disepakati bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan UMNO kekal teguh mendukung Institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa yang diperuntukkan kepada baginda.
“Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” katanya.
Lewat malam tadi, PH menegaskan akan mempertahankan agenda reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah dan salah guna kuasa termasuk memastikan individu yang disabitkan kesalahan menjalani sepenuhnya hukuman ditetapkan mahkamah.
Menurut kenyataan itu, PH turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes berkaitan disiasat secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“PH sebagai sebuah gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa berpendirian mana-mana individu disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah,” menurut kenyataan PH itu.