11 SEPT : “Guru, cukup-cukuplah guru.”
Ungkapan sama berulang kali diluahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 mencetuskan tanda tanya kepada siapa ayat itu ditujukan.
Malah beliau berulang kali meminta ‘guru’ berkenaan mendengar suara UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat.
Dalam ucapan di Dewan Merdeka WTCKL , hari ini, Ahmad Zahid dilihat menyampaikan mesej berbaur sindiran itu tanpa mendedahkan siapa individu yang dimaksudkan sebagai ‘guru’.
“Guru, cukup-cukuplah guru. Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat, guru. Cukup-cukuplah. Insya-Allah, kami boleh buat lebih daripada apa yang guru buat,” katanya.
Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan UMNO yang hadir.
Ahmad Zahid turut meminta individu berkenaan tidak lagi menutup mata dan telinga terhadap suara yang datang daripada UMNO, BN serta rakyat.
Menurutnya, mesej itu perlu disampaikan bagi mengelakkan keresahan dan kegelisahan berpanjangan dalam kalangan rakyat.
Walaupun menggunakan nada tegas, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak berniat menjadi batu api atau melaga-lagakan mana-mana pihak.
Sebaliknya, beliau mahu suara UMNO dan rakyat diberi perhatian bagi mengelakkan keadaan yang disifatkannya sebagai ‘keliruisme’ berpanjangan.
Namun, sehingga ucapan berkenaan berakhir, Ahmad Zahid tidak menjelaskan identiti sebenar individu yang digelarnya ‘guru’.
Gelaran itu kemudian mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik dan pengguna media sosial yang cuba meneka tokoh dimaksudkan.
Sindiran berkenaan hadir ketika UMNO sedang mengadakan PAU 2026, dengan parti itu berdepan pelbagai perkembangan politik termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) serta kemungkinan perubahan dalam kerjasama politik.
Ahmad Zahid sebelum ini turut memberi bayangan mengenai perubahan landskap politik apabila menyebut kemungkinan ‘biru’ bertemu ‘hijau’, dipercayai merujuk kepada UMNO dan PAS, dalam konteks kerjasama politik.
Bagaimanapun, siapa sebenarnya ‘guru’ yang dimaksudkan Ahmad Zahid kekal menjadi persoalan sehingga beliau sendiri memberikan penjelasan mengenainya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan institusi negara tidak boleh diperalatkan untuk menekan atau menganiaya mana-mana pihak hanya kerana berbeza kecenderungan politik.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, amanah yang diberikan rakyat bukan lesen untuk pihak tertentu menggunakan kuasa terhadap kumpulan yang tidak sehaluan.
Sebaliknya, beliau menegaskan pentadbiran perlu menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang termasuk memastikan mahkamah dan agensi penguatkuasaan tidak diperalatkan.
“Kita mahu rakyat percaya kepada mahkamah, bukannya mahkamah yang diperalatkan. Kita percaya dengan semua agensi penguatkuasaan, tetapi bukan agensi yang diperalatkan.
“Kita tak mahu sesiapa (dikenakan) baju oren dan ungu, sebaliknya perlu ‘dimerahkan’ dan ‘dihijaukan’.
“Dengarlah rakyat cakap ni. Bosku (Datuk Seri Najib Razak) buat betul dah (laksana GST). Insya-Allah, kita kembalikan GST dalam sistem percukaian di negara ini,” katanya.
*FOTO : V.MOGANRAJ