BUDI Diesel: Kelayakan subsidi boleh dipindah kepada 3 kenderaan
17 SEPT : Program BUDI Diesel ditambah baik dengan membenarkan pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel memindahkan kelayakan subsidi kepada maksimum tiga kenderaan, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemudahan pemindahan kelayakan turut diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terhad kepada ahli keluarga terdekat.
“Kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel. Pertama, kemudahan pemindahan kelayakan diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terhad kepada ahli keluarga terdekat.
“Kedua, pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel dibenar memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan kepada maksimum tiga kenderaan. Ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat susulan maklum balas rakyat serta wakil rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan isu pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam satu isi rumah.
Menteri Kewangan itu berkata penambahbaikan berkenaan melengkapkan pengumuman sebelum ini berhubung peningkatan kuota subsidi diesel bagi pemilik pikap dan kenderaan pacuan empat roda diesel di Sabah dan Sarawak daripada 300 liter kepada 400 liter sebulan.
Anwar berkata kerajaan meneliti pelbagai pandangan rakyat serta pemimpin di Sabah dan Sarawak berhubung pelaksanaan subsidi diesel bersasar.
Katanya, kerajaan akan terus menambah baik dasar sedia ada bagi memastikan bantuan yang disalurkan memenuhi keperluan rakyat tanpa menjejaskan usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.
Anwar turut menegaskan kerajaan kekal komited memastikan manfaat subsidi sampai kepada golongan yang layak walaupun berdepan tekanan kenaikan harga minyak mentah global.
