26 SEPT: Tindakan masyarakat Cina dan India memohon kewarganegaraan sebelum kemerdekaan menunjukkan Tanah Melayu sememangnya tanah orang Melayu.
Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, permohonan kerakyatan itu menunjukkan orang Melayu ketika itu mempunyai hak untuk memberikan kewarganegaraan kepada imigran Cina dan India yang mahu terus menetap di Tanah Melayu.
“Dalam proses kita membentuk masyarakat majmuk itu, sewaktu kita ingin mencapai kemerdekaan, imigran Cina dan India ataupun disebut sebagai pendatang Cina dan India ini, mereka mahu terus tinggal di tanah Melayu ini.
“Jadi, mereka memohon kerakyatan daripada orang Melayu. Perbuatan memohon kerakyatan daripada orang Melayu itu menunjukkan tanah ini tanah orang Melayu.
“Maknanya, orang Melayu sahaja yang mempunyai hak untuk memberi kerakyatan kepada Cina dan India yang mahu terus tinggal di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi wacana Membongkar Polemik Tanah Melayu pada Musyawarah Nasional 3.0 yang berlangsung di Melaka, hari ini.
Menurutnya, perkara itu juga boleh dijelaskan kepada mereka yang kurang fasih berbahasa Melayu tetapi memahami bahasa Inggeris.
“The very act of the Indians and Chinese seeking Malayan citizenship speaks clearly and loudly that this place is a Malay land,” katanya.
Dalam pada itu, Teo berkata isu berhubung apa yang sering disebut sebagai kontrak sosial turut perlu dilihat berdasarkan tanggungjawab kedua-dua pihak menjelang kemerdekaan.
Beliau berkata, perjanjian etnik pada 1955 membabitkan Melayu dan bukan Melayu, dengan setiap pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing.
“Bagi yang Melayu, tanggungjawab mereka sudah lama dilangsaikan dengan memberi kerakyatan yang mudah kepada Cina dan India, dah selesai.
“Pada Cina dan India setelah beberapa keturunan…bahagian mereka belum dilangsaikan lagi,” katanya.
Teo turut menyentuh beberapa isu berkaitan agama Islam, bahasa Melayu, dasar ekonomi serta kedudukan istimewa orang Melayu yang menurutnya masih menjadi bahan perdebatan sehingga kini.
Beliau berkata, perkara itu berkait dengan persetujuan yang dicapai menjelang kemerdekaan dan perlu difahami berdasarkan sejarah pembentukan negara.
Mengulas soal penguasaan bahasa Melayu, beliau menegaskan masih ada rakyat di negara ini yang tidak tahu bertutu dalam bahasa tersebut.
“Bahasa Melayu sampai hari ini, ada rakyat yang masih tidak mengetahui bahasa Melayu. Kalau nak cakap yang kasar, (mereka ini) sepatah haram pun tak tahu. Ada apa erti kerakyatan yang dipegang itu?
“Kalau dibandingkan dengan pekerja asing Bangladesh yang datang enam bulan sudah boleh mengurat gadis-gadis Melayu,” katanya.
Selain Prof Teo, beberapa panelis lain terlibat ialah Prof Datuk Dr Ahmad Murad Mohd Noor Merican, Prof Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz dan Dr Ku yang dikendali Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.