30 SEPT : “Sekarang bukan masa untuk leka”. Demikian penegasan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang bakal tiba tidak lama lagi, Ab Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah menekankan keperluan jentera parti merapatkan saf dan menggandakan usaha.
Pengerusi Barisan Nasional Melaka itu berkata, setiap jentera perlu bergerak secara tersusun dan berdisiplin dengan rakyat kekal menjadi fokus utama perjuangan parti.
“Sekarang bukan masa untuk leka. Ini masa untuk kita rapatkan saf, satukan langkah dan gandakan usaha. Setiap jentera mesti bergerak dengan disiplin, tersusun dan penuh semangat, dengan rakyat terus menjadi fokus utama perjuangan,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, malam tadi.
Ketua Menteri Melaka itu berkata mesyuarat berkenaan penting bagi memperkemas penyelarasan serta memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi, khususnya menjelang PRN Melaka.
Beliau turut menekankan kepentingan kesatuan dalam kalangan anggota dan kekuatan jentera bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Insya-Allah, dengan kesatuan, kekuatan jentera dan kerja kuat seluruh keluarga UMNO, kita hadapi medan ini dengan keyakinan dan penuh semangat juang. Terus berkhidmat untuk rakyat. Kita geng biru,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Hameed Basheer; Ketua Penyelaras Operasi Pilihan Raya Parlimen Masjid Tanah, Datuk Ibrahim Durum serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya mengumumkan bakal menetapkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka pada 7 Oktober ini.
Pada PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021, Ab Rauf membuat penampilan sulung dalam pilihan raya apabila bertanding di DUN Tanjung Bidara menentang calon Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan.
Keputusan menyaksikan Ab Rauf menang dengan 3,559 undi, mengatasi Mas Ermieyati yang memperoleh 3,195 undi, manakala Zainal mendapat 489 undi. Kemenangan itu memberikan Ab Rauf majoriti 364 undi.