4 OKT : Persoalan sama ada pendidikan tinggi benar-benar membawa graduan kepada pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan menjadi perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memperkukuh laluan daripada pendidikan kepada pekerjaan, susulan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan kira-kira 1.6 juta graduan atau 32.2 peratus bekerja di bawah tahap kelayakan.
“Dapatkah pekerjaan yang sesuai? Berbaloikah belajar dekat UiTM (Universiti Teknologi MARA) ini? Mampukah kita membina kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga? Semua pertanyaan itu tidak salah kerana ia berasas.
“Menurut DOSM terdapat graduan bekerja di bawah tahap kelayakan. Jadi saya menggesa, meminta, mengarahkan dan memerintahkan Menteri Pendidikan Tinggi untuk terus memperkukuhkan laluan daripada pendidikan kepada pekerjaan yang sepadan.
“Itu tanggungjawab anda (Zambry). Tidak mudah, tetapi saya yakin anda boleh melakukannya. Perlu ada kesepadanan kelulusan dengan bidang pekerjaan, apa lagi produk UiTM ini adalah graduan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Semarak Patriotisme Seminar Ilmuwan Islam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, cabaran selepas tamat pengajian bukan sekadar mendapatkan pekerjaan, tetapi memastikan ilmu dan kemahiran yang dimiliki benar-benar mempunyai nilai dalam dunia pekerjaan.
Menurutnya, pendekatan itu penting kerana dunia pekerjaan semakin memerlukan gabungan kepakaran daripada pelbagai bidang.
“Masalah masa hadapan tidak datang mengikut sempadan fakulti tetapi penyelesaiannya memerlukan kepakaran yang saling melengkapi,” katanya.
Katanya, graduan perlu melengkapkan diri dengan keupayaan yang melangkaui bidang pengajian supaya lebih bersedia menghadapi perubahan keperluan industri.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mengingatkan mahasiswa supaya tidak mudah menjadikan perkara yang tular sebagai asas dalam membuat pertimbangan, sebaliknya menilai sesuatu secara matang dengan mengutamakan ilmu dan hujah yang kukuh.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya memastikan ilmu dan kepakaran yang dimiliki memberi manfaat kepada masyarakat, selain memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan penyelesaian kepada cabaran semasa.
Katanya, generasi muda hari ini bakal memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara menjelang 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
Beliau turut berharap mahasiswa terus mengembangkan potensi masing-masing untuk muncul sebagai ilmuwan, golongan profesional dan pemimpin yang mampu mengangkat martabat umat serta negara.
